Sejurus selepas menulis 6 perenggan setelah tidak menjenguk blog ini sekian lama, kemudian semuanya hilang daripada skrin begitu sahaja. Allahuakbar...memangnya dugaan untuk menulis memang begitu agaknya. Mustahil untuk menulis semula ayat-ayat sekejap tadi. Tulis sahaja. itu pesan arwah Cikgu Azizi. Sasterawan yang tidak berkesempatan dinobatkan, tetapi cerpen "Beruk" amat mengesankan pada jiwaku sampai tika ini.
Jadi, lupakan kekecewaan, Lepaskan perkara lalu yang memberi beban pada perasaan. Jangan sesekali menoleh kalau apa yang ada di belakang itu melemahkan. Usah langsung mengizinkan semua kesimpulan yang busuk dan memualkan menjerut diri dalam kegagalan. Mungkin itu cukup untuk menjana perkataan untuk menggantikan 6 perenggan yang ditakdirkan "hilang". Takdir. Aku perlu sebut dan menerimanya. Percayalah, kerana aku sendiri amat yakin dan percaya menyebut dan menerima bukan sama mudah. Ayat pasrah sebenarnya heh he. Pada saat badan menggalas umur 41, begitu agaknya cara menelan geram dan kecewa. Senyum sendiri akhirnya..
Seperti kebiasaannya aku memang mesra dengan puisi. Terasa amat mudah menyampaikan makna dalam pendek dan padatnya kata-kata.
Rentan
Rentanku pada semalam yang tersia
menjadikan aku terkesima,
akal,
engkau di mana?
Hati
engkau ke mana?
benak,
kenapa berbagi dua?
Rentanku pada kelmarin yang luka
melahirkan semula aku
yang tiba-tiba tua.
Tuhan..
Terima kasih.
Engkau ketemukan akalku dengan kewarasan dengan kerana manisnya iman
Engkau pulangkan hatiku yang tersasar kerana indahnya iman
Engkau satukan benakku dengan keyakinan kerana hidup perlu rasa bertuhan.
Rozie/22 Mac/12.01am
No comments:
Post a Comment